ALOR SETAR: Beberapa perwakilan Pas mahukan supaya prinsip penyatuan ummah menerusi permuafakatan politik terus diperkasakan untuk merampas kerusi dikuasai Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perwakilan dari Selangor yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Noor Najhan Mohamad Salleh berkata kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) misalnya, berjaya memberi kelebihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih sebelum ini apabila Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kerusi itu dari PH.

Beliau berkata ia menunjukkan kerjasama antara UMNO dan Pas yang diperkukuh mempengaruhi corak dan keputusan pengundian dalam PRK itu.

"Pas Selangor yakin dan percaya, Pas akan merunding satu formula terbaik melalui konsep penyatuan ummah yang mampu merebahkan PH jika parti Melayu Islam bersatu, supaya kita boleh wujudkan perlawanan satu lawan satu," katanya membahaskan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan Pas ke-68 di sini semalam.

Noor Najhan berkata formula yang sama boleh digunakan untuk menjatuhkan kerajaan PH di Selangor pada PRU15.

Beliau berkata Pas perlu memainkan peranan untuk terus bangkit menjadi pendamai dan pencetus menyedarkan penyatuan ummah bersama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kekuatan politik Melayu-Islam diperteguhkan.

Senada dengan Noor Najhan, perwakilan dari Pulau Pinang Omar Hassan berkata Pas perlu meneruskan serta memantapkan perhubungan antara Pas, Umno dan Bersatu untuk menentukan semasa PRU15 nanti kesemua parti itu hanya bertembung satu lawan satu.

"...dan musuh utama kita adalah DAP dan sekutunya. Namun untuk mencapai kemajuan kejayaan itu bukan suatu perkara mudah, justeru kita hendaklah melipatgandakan usaha dan memperbanyakan program bagi menentukan kemenangan berada di pihak kita," katanya.

Pada Jumaat, Dewan Ulama Pas Pusat meluluskan usul berkaitan agenda penyatuan ummah melalui kerjasama dengan Umno serta Bersatu, dan menolak kerjasama dengan PH pada PRU15.

-- BERNAMA